Kejohanan e-sukan The International Dota 2 sering mendapat perhatian bukan sahaja dari peminat permainan Dota 2 tetapi juga pemerhati oleh kerana hadiah wang mereka yang tinggi.
Menggunakan sistem biayasama, kejohanan Dota 2 tersebut pada tahun lepas mengumpulkan hadiah sebanyak $24 juta dan pemenang tempat pertama akan mendapat sehingga $10 juta.
Jika itu adalah satu jumlah yang besar, Epic Games pula mengumumkan yang mereka akan menyediakan $100 juta sebagai hadiah untuk kejohanan Fortnite bagi tahun 2018-2019. Jumlah tersebut adalah sekadar hadiah dan bukan termasuk dengan kos untuk menganjurkan kejohanan tersebut.
Berbanding kejohanan e-sukan yang lain, itu adalah satu jumlah yang sangat besar. Overwatch League yang masih lagi berlangsung dan merupakan antara kejohanan utama sekarang sekadar menyediakan $3.5 juta untuk hadiah bagi musim pertama.
Untuk masa ini Epic Games tidak berkongsi sebarang maklumat lanjut mengenai kejohanan tersebut tetapi mereka mengatakan kejohanan tersebut akan lebih inclusive dan memfokuskan keseronokan bermain dan menonton.
Ini sudah semestinya satu berita yang baik untuk pasukan-pasukan e-sukan Fortnite di luar sana. Syed Saddiq yang sebelum ini mengatakan ingin membina fasiliti e-stadium mungkin boleh juga memfokuskan permainan Fortnite.