Skip to main content

Lanjutan daripada pengumuman Operator baru buat permainan Rainbow Six Siege baru-baru ini oleh Ubisoft, kini Ubisoft akhirnya memperkenalkan dua Operator terbaru tersebut bersama menyertakan video khas bentuk permainan mereka.

Seperti yang dikongsikan oleh kami sebelum ini, Operator pertama, Alibi mempunyai gajet khas bernama Prisma yang mana beliau berupaya untuk meletakkan umpan holografik terhadap musuh yang bukan sahaja akan memeningkan musuh, malah jika musuh menembak ke arah umpan tersebut, lokasi mereka akan didedahkan selama beberapa saat. Dengan gajet tersebut, pemain bukan sahaja boleh mengumpan musuh, malah boleh berlakon seolah sebagai umpan holografik tersebut dan memeningkan lagi pihak musuh.

Operator kedua yang diperkenalkan adalah Maestro yang mana ia mempunyai gajet Evil Eyes yang bukan sahaja berupaya untuk digunakan sebagai kamera malah ia juga boleh menembak ke arah musuh dengan tembakan laser dengan melekatkannya di dinding. Gajet tersebut juga adalah kalis peluru ketika dalam bentuk pertahanan dan penglihatan gajet tersebut tidak akan diganggu oleh bom asap. Namun, gajet tersebut boleh dimusnahkan dengan senjata kuat seperti bom tangan ataupun menghancurkan dinding yang dilekatkan oleh gajet tersebut.

Bagi anda yang berminat untuk melihat bentuk permainan kedua-dua operator tersebut, anda boleh menontonnya di video di atas yang mana Ubisoft berkongsi segala bentuk permainan Operator tersebut malah tips kelemahan dan cara untuk tandingi mereka. Kedua-dua Operator ini merupakan kemaskini yang disertakan bersama melalui kemaskini Operation Para Bellum yang diumum oleh mereka sebelum ini.

Rainbow Six Siege merupakan permainan penembak pandang pertama yang dibangunkan oleh Ubisoft. Ia dilancarkan sejak 2015 lepas dan menerima pelbagai kemaskini oleh Ubisoft dengan pelbagai pernambahan Operator baru dan peta kawasan baru. Bagi anda yang berminat, permainan tersebut boleh dimainkan di Playstation 4, Xbox One dan PC.

Leave a Reply