Capcom hari ini mengumumkan permainan Monster Hunter Generations Ultimate buat konsol Switch yang mana ia merukan versi global buat Monster Hunter XX yang diumumkan tahun lepas. Menurut Capcom, permainan tersebut akan dilancarkan secara rasmi pada 28 Ogos ini dan ketika E3 bulan hadapan, mereka akan membenarkan pemain untuk mencubanya di reruai Capcom.

Monster Hunter Generations Ultimate merupakan versi lengkap Monster Hunter Generations yang dilancarkan di konsol mudah-alih Nintendo 3DS. Menariknya juga, bagi anda yang bermain permainan tersebut di 3DS, anda boleh memindah fail penyimpanan permainan anda di versi Switch apabila ia dilancarkan kelak.

Selain daripada peningkatan visual, Monster Hunter Generations Ultimate juga akan menyertakan sebilangan raksasa baru dan kawasan baru untuk pemain memburu. Seperti Monster Hunter sebelum ini, anda juga berupaya untuk memburu bersama rakan-rakan anda melalui atas-talian ataupun luar-talian.

Capcom juga akan menyertakan sebilangan bentuk permainan baru antaranya adalah kemahiran Hunter Arts yang boleh dilakukan dengan hanya menekan skrin sesentuh Switch tersebut. Permainan ini juga akan menyertakan gaya pemburuan yang baru iaitu Brave Style dan Alchemy Style dimana pemain boleh bereksperimen untuk mengembangkan lagi bentuk permainan Monster Hunter Generations Ultimate.

Bagi anda yang ingin memburu raksasa di konsol hibrid Switch, jangan lepaskan peluang anda untuk mendapatkan permainan Monster Hunter Generations Ultimate bermula 28 Ogos ini.

Sohor Kini