Informasi Permainan Video Terkini
Kemaskini Mod Foto Kini Tiba Buat Permainan God Of War

Kemaskini Mod Foto Kini Tiba Buat Permainan God Of War

Diterbitkan pada Mei 10, 2018 oleh .

Bulan lepas, Santa Monica Studio, pembangun permainan God Of War mempertontonkan sebilangan fungsi-fungsi mod foto yang terdapat buat permainan tersebut. Kini, mod foto tersebut akhirnya tiba secara rasmi melalui kemaskini permainan 1.20.

Untuk menggunakan mod foto tersebut, anda hanya perlu ke tetapan permainan dan memastikan pilihan untuk akses cepat mod foto tersebut dibuka. Ini kerana ia akan memudahkan anda untuk mengakses mod foto tersebut dengan hanya menekan pad sesentuh alat kawalan Dualshock 4 anda di bahagian kiri untuk mengaksesnya.

Selepas anda mengakses mod foto tersebut, anda berupaya untuk menangkap pelbagai bentuk foto yang menarik dengan menggunakan fungsi tersebut. Selain daripada pengubahan penuras gambar, anda juga berupaya untuk mengubah eskpressi wajah Kratos dan juga Atreus dan mungkin mempertontonkan foto-foto yang kelakar.

Menariknya bagi kami, mod foto tersebut mengingatkan kami seperti mod foto di Horizon Zero Dawn dengan pelbagai fungsi-fungsi yang seakan sama. Walaupun begitu, dengan tibanya mod foto ini, ia merupakan satu fungsi yang sangat dinantikan oleh pemain dan kami juga mungkin akan bermain semula permainan tersebut untuk mendapatkan adegan-adegan foto yang menarik untuk dikongsikan.

God Of War merupakan permainan aksi pengembaraan yang dibangunkan oleh Santa Monica Studio secara esklusif buat konsol Playstation 4. Ia dilancarkan pada 20 April lepas dan kami di Aksiz juga membuat ulasan permainan tersebut beberapa minggu lepas. Selain itu, kami juga telah berkongsi video khas nyah kotak bagi edisi Collector permainan tersebut.