Informasi Permainan Video Terkini
Sistem Kotak Tikam Akan Menjana Melebihi $50 Bilion Menjelang 2022

Sistem Kotak Tikam Akan Menjana Melebihi $50 Bilion Menjelang 2022

Diterbitkan pada Apr 19, 2018 oleh .

Walaupun kebelakangan ini, sistem kotak tikam ini terdapat pelbagai kontroversi, terutamanya apabila ia melibatkan permainan bertaraf AAA seperti Star Wars Battlefront II oleh Electronic Arts tahun lepas. Namun, melalui laporan Juniper Research, sistem kotak tikam dan “perjudian” kostum akan menjana sebanyak $50 bilion seluruh dunia hasil pembelanjaan pengguna menjelang 2022.

Pasaran buat kotak tikam ini sememangnya semakin meningkat. Juniper Research juga berkongsi satu carta pai khas yang mana mereka menjangka ia akan menjanan lebih dari 50% di China sahaja. Walaupun kotak tikam ini sering ditentang oleh pemain mahupun pelbagai pihak, ia tidak dapat dinafikan bahawa sistem tersebut sememangnya menjana pendapatan yang tinggi. Mungkin juga ini disebabkan elemen perjudian yang terdapat di dalam sistem tersebut. Namun, laporan ini sememangnya hanya  ramalan pihak tersebut hasil daripada penyelidikkan mereka.

Selain daripada pengumuman hasil laporan tersebut, Juniper juga menyatakan bahawa pengawalan sistem ini juga harus diadakan untuk mengelak daripada kanak-kanak mahupun pemain lain menjadi ketagih dengan “perjudian” ini. Ini juga dapat dikaitkan dengan pihak Belgium yang mengatakan sistem kotak tikam ini merupakan satu sistem perjudian.

Apakah pendapat anda berkenaan perkara ini? Dengan ramalan ini, mungkin juga sistem ini akan menyebabkan pembangun permainan untuk menyertakannya di dalam permainan mereka? Apakah pendapat anda berkenaan sistem kotak tikam yang semakin menjadi kontroversi utama buat industri permainan video kini?