Informasi Permainan Video Terkini
5 Permainan Yang Kami Ingin Lihat Di Dalam Versi Realiti-Maya

5 Permainan Yang Kami Ingin Lihat Di Dalam Versi Realiti-Maya

Diterbitkan pada Dis 26, 2017 oleh .

Dengan perkembangan permainan realiti-maya yang semakin meningkat sekarang bersama set kepala realiti-maya yang semakin mampu dimilik untuk pengguna. Permainan realiti-maya menjadi satu kebiasaan bagi kita dimana 10-20 tahun lepas ia merupakan satu teknologi yang kita hanya boleh bayangkan di dalam filem dan animasi sahaja.

Kini dengan pelbagai set realiti-maya seperti Playstation VR, Oculus Rift malah set realiti-maya yang boleh digunakan bersama peranti telefon pintar seperti Samsung Gear VR dan Google Cardboard, realiti-maya menjadi suatu bentuk hiburan yang boleh dicuba oleh seluruh pemain di dunia ini.

Namun, dengan sebilangan permainan realiti-maya yang dilancarkan sepanjang tahun, kami di Aksiz juga ingin melihat sebilangan permainan-permainan klasik diberikan nafas baru dalam bentuk realiti-maya.

Mister Mosquitos

Antara permainan yang menarik untuk dinikmati dalam bentuk realiti-maya yang pertama kami ingin senaraikan adalah Mister Mosquitos. Permainan ini asalnya dilancarkan di Playstation 2 pada 2001 lepas. Ia merupakan permainan yang mana pemain akan menjadi seekor nyamuk dan pemain ditugaskan untuk mengisap darah manuasia.

Permainan tersebut dibangunkan oleh ZOOM Inc dan dikeluarkan oleh Sony Interactive Entertainment di Jepun dan Eidos Interactive bagi pasaran global. Menariknya permainan ini seakan sebuah permainan simulasi sebagai seekor nyamuk. Pemain juga perlu mengisap darah manusia tanpa membuat manusia tersebut menyedari tindakan anda tersebut.

Menariknya, jika permainan ini dibangunkan sebagai permainan dalam bentuk realiti-maya, keupayaan untuk menerbang dan mengisap darah manusia tersebut sememangnya akan jadi satu pengalaman yang sangat menakjubkan. Ini juga akan menghasilkan satu pengalaman yang luas dimana pemain akan berubah menjadi seekor nyamuk yang kecil disamping menerbang di sekeliling bilik manusia dan melihat segala perabot-perabot yang besar. Dengan tambahan konsep permainan secara menyelinap, ini juga menghasilkan satu pengalaman yang menakutkan untuk menghisap darah manusia disamping pemain perlu memastikan tidak ditangkap oleh manusia tersebut.

Permainan berkokpit Seperti Gundam Atau Metal Gear

Permainan realiti-maya sememangnya sesuai jika diletakan didalam sebuah kokpit seperti permainan Eve Valkryrie dan Zone Of The Enders. Namun, terdapat satu lagi robot yang mana menjadi kegilaan ramai peminat, iaitu Gundam.

Sejak Gundam diperkenalkan pada tahun 1979, terdapat pelbagai bentuk permainan diperkenalkan secara bersama termasuklah keupayaan untuk mengawal Gundam dengan berada di kokpit dengan permainan arked dan sebagainya. Menariknya, pada 2016, Japan Times juga melaporkan sebuah permainan realiti-maya yang mana pemain perlu memeluk jari Gundam sambil menyaksikan perlawanan Gundam antara Zaku. Namun, permainan realiti-maya tersebut hanyalah boleh dimainkan di arked tersebut saja dan tidak boleh dimainkan bagi pengguna-pengguna realiti-maya lain.

Sekaligus ini merupakan satu permainan realiti-maya yang kami impikan dimana pemain berupaya untuk berada di dalam kokpit Gundam dan mungkin berpeluang untuk melakonkan semula adegan Amuro Ray bersama Char Aznable di dalam siri anime Gundam. Tambahan juga, ia akan menjadi lebih menarik jika pemain berpeluang untuk menikmati proses pertukaran yang terdapat di dalam Zeta Gundam dimana ia perupaya untuk menjadi robot dan juga jet perjuang. Kami percaya pengalaman realiti-maya bagi permainan Gundam akan menjadi satu bentuk permainan yang sangat menakjubkan.

Pada Tokyo Game Show 2017 yang lepas juga, Konami mengumumkan permainan realiti-maya Zone Of The Enders, sekaligus membuat kami tertanya-tanya berkenaan satu lagi permainan Konami yang terkenal yang memfokuskan robot juga, iaitu Metal Gear. Walaupun Metal Gear Solid bukanlah permainan yang memfokuskan peperangan robot seperti Zone Of The Enders, tetapi ketika permainan Metal Gear Solid 4: Guns Of The Patriots dilancarkan pada 2008 lepas, pemain berupaya untuk memandu Metal Gear Rex dan bertempur dengan Metal Gear Ray. Sekaligus misi tersebut mungkin akan lebih menarik jika disediakan dalam bentuk realiti-maya.

Cooking Mama

Salah satu kombinasi yang baik bagi permainan realiti-maya adalah permainan simulasi seperti simulasi memasak dan sebagainya. Walaupun sebelum ini, Owlchemy Labs melancarkan permainan Jobs Simulator dimana pemain berupaya untuk memasak di dalam permainan tersebut, namun ia masih lagi merupakan satu permainan dalam bentuk parodi.

Bagi mereka yang pernah bermain permainan Cooking mama, anda pasti berminat bagaimana permainan tersebut memberi satu pengalaman memasak yang sangat terperinci dan pada masa yang sama seronok dimainkan. Sebelum ini, Nintendo juga pernah melancarkan permainan tersebut di Nintendo Wii yang mana pemain berupaya mengawal segala bentuk kawalan permasakkan tersebut melalui pergerakkan. Namun kami percaya, jika dalam bentuk realiti-maya, permainan tersebut akan menjadi lebih menarik.

Whirlybird Games juga baru-baru ini melancarkan permainan VR The Diner Duo, yang mana ia merupakan permainan realiti-maya yang memfokuskan simulasi memasak. Namun permainan tersebut masih lagi terhad dengan masakan di Diner seperti burger dan makanan barat.

Tidak seperti Cooking Mama, yang mana permainan tersebut memfokuskan pelbagai jenis resepi masakan dari seluruh pelusuk negara sekaligus permainan tersebut juga mengajar cara-cara untuk memasak disamping menjadi sebuah permainan hiburan.

Fatal Frame

Satu lagi kombinasi yang menarik bagi permainan realiti-maya adalah permainan seram. Dengan pelbagai permainan seram yang dilancarkan di Playstation VR dan juga Oculus Rift seperti Resident Evil 7 Biohazard dan Alien Isolation, namun satu lagi francais permainan yang kini makin dilupakan adalah Fatal Frame.

Bagi yang tidak mengikuti siri permainan Fatal Frame, ia merupakan permainan seram Jepun yang dibangunkan oleh Koei Tecmo. Antara bentuk permainan yang menarik bagi permainan tersebut adalah bentuk pertempurannya yang mana pemain perlu menggunakan kamera untuk menghapuskan sebarang musuh-musuh hantu di dalam permainan tersebut.

Pada 2015 yang lepas, Koei Tecmo juga melancarkan Fatal Frame: Maiden of Black Water di konsol Nintendo Wii U dimana pemain perlu menggunakan Wii U Gamepad sebagai sebuah kamera dan menghalanya ke arah hantu untuk menghapuskan hantu tersebut. Namun cara ini juga agak terhad dimana pemain perlu juga menggunakan fungsi yang di TV bersama fungsi di skrin Wii U Gamepad tersebut.

Tetapi masalah ini boleh diatasi dengan bentuk realiti-maya dimana pemain akan ditenggelami di dalam dunia tersebut melalui realiti-maya sekaligus ia menghapuskan had antara dua skrin tersebut secara berterusan melalui realiti-maya. Namun, ini hanyalah sebuah konsep ataupun idea yang kami percaya realiti-maya akan mengubahkan bentuk permainan Fatal Frame kepada lebih intuitif dan menyeramkan.

Star Wars

Bagi peminat Star Wars, menyelami dunia Star Wars sememangnya satu mimpi menjadi kenyataan dengan keupayaan untuk menikmati segala senjata bersama sekitar kawasan Star Wars dan sebagainya. Walaubagaimana pun, ini bukanlah sesuatu yang tidak pernah dicuba oleh pihak LucasArts mahupun Disney. Dimana baru-baru ini Star Wars bekerjasama dengan Lenovo untuk melancarkan permainan Star Wars Jedi Challenges. Namun begitu, permainan tersebut lebih memfokuskan bentuk permainan secara realiti-gabungan berbanding realiti-maya.

Tambahan juga, pada Disember 2016 lepas, EA juga melancarkan mod permainan realiti-maya bagi permainan Star Wars Battlefront yang memfokuskan misi daripada filem Star Wars Rogue One dimana pemain berpeluang untuk mengendali kapal angkasa X-Wing. Namun begitu, permainan tersebut hanyalah terhad kepada beberapa jam sahaja dan ia hanyalah lebih kepada sebuah demo permainan berbanding permainan penuh.

Oleh hal demikian, kita masih lagi belum memperoleh sebarang permainan penuh realiti-maya yang memfokuskan dunia Star Wars. Kami percaya, setiap peminat Star Wars ingin bertempur dengan Darth Maul, mahupun mengendali TIE Fighter melalui permainan realiti-maya. Disamping keupayaan untuk bertempur bersama-sama Anakin Skywalker mahupun Obi Wan Kenobi ketika Clone Wars, konsep permainan realiti-maya ketika peperangan di Hoth, dimana pihak Rebels menjatuhkan AT-AT Walker juga akan memberi kesan yang menarik jika dimainkan secara realiti-maya.

Walaubagaimana pun, kesemua senarai permainan realiti-maya yang disenaraikan oleh kami hanyalah permainan yang kami impikan. Kami juga ingin mendengar pendapat anda berkenaan permainan yang anda ingin lihat dalam versi realiti-maya. Jangan lupa untuk tinggalkan pendapat di ruangan komen dibawah.