Tencent sebelum ini telah diperkatakan berminat untuk melabur pada studio permainan Bluehole yang kini popular dengan permainan PlayerUnknown’s Battlegrounds atau singkatannya PUBG. Kini, laporan baru hadir mengatakan Tencent masih berminat dengan syarikat berkenaan, dan berminat untuk mengambil-alihnya.
Tencent sendiri bukan suatu nama yang asing dalam arena permainan video. Mereka sedia mempunyai pegangan pada Riot Games, Epic Games, Blizzard, Supercell dan beberapa studio permainan popular yang lain. Mengambil-alih atau melabur pada Bluehole akan terus mengukuhkan lagi portfolio mereka.
Sebelum ini, ia dikatakan Tencent pernah menawarkan untuk membeli Bluehole sebelum PUBG – tetapi ia telah ditolak ketika itu. Kini, dengan PUBG, harga Bluehole sendiri telah naik berganda, dan Tencent dilihat masih berminat dengan syarikat berkenaan.
Untuk Tencent sendiri, baru-baru ini mereka telah mengumumkan sebuah permainan baru seumpama PUBG tetapi untuk peranti mudah-alih, dinamakan sebagai Glorious Mission.