Skip to main content

Minggu ini berlangsungnya acara Level UP KL 2017 yang mana ia adalah acara yang memfokuskan pembangunan permainan video. Dengan kerjasama MDEC, acara tersebut berlangsung dengan jayanya dan saya berpeluang untuk menemu-ramah Brian Recktenwald, pereka kawasan bagi syarikat pembangun permainan Naughty Dog.

Brian bermula kerjayanya sebagai pembangun permainan di LucasArts dimana beliau bertanggungjawab dengan pembangunan permainan The Force Unleashed 1 dan 2. Selepas pelancaran dua permainan tersebut, beliau merupakan pereka kawasan utama bagi permainan Star Wars 1313 di Lucasfilm. Namun, permainan tersebut dibatalkan oleh LucasArt pada 2013 lepas. Brian kemudian menyertai Naughty Dog dan menjayakan permainan Uncharted 4: A Thief’s End dan juga Uncharted: The Lost Legacy. Dengan pengalaman melebihi 10 tahun, beliau juga kini bertanggungjawab terhadap permainan The Last Of Us Part II. Bagi anda ingin membaca sesi temu ramah tersebut, berikut adalah beberapa soalan yang dikemukakan bersama jawapan beliau.

Apakah perasaan anda, apabila anda bekerja bersama LucasArt untuk menghasilkan kandungan buat permainan Star Wars?

Brian : Bekerja berkaitan dengan Star Wars merupakan satu impian menjadi kenyataan, saya sememangnya peminat Star Wars dari saya umur 6 tahun. Tetapi keupayaan untuk menghasil dan memberi sentuhan bagi permainan Star Wars, ia memang sesuatu yang sangat menakjubkan. Walaupun saya hanya berada di sana selama 7 tahun, namun masa saya disana saya sangat menyukainya dan projek terakhir yang saya hasilkan, iaitu Star Wars 1313 merupakan pengalaman yang saya hargai.

Bagaimana pula apabila anda bersama Naughty Dog?

Brian : Dari LucasArt ke Naughty Dog juga merupakan impian jadi kenyataan juga bagi saya, kerana saya suka Star Wars dari segi aspek perfilemannya, saya juga suka permainan Star Wars, tetapi bagi saya, saya berasa permainan yang dihasilkan di Naughty Dog terutamanya selepas Uncharted 2, itu yang membuat saya begitu tertarik untuk menyertai Naughty Dog. Tetapi ia sedikit berbeza, kerana di LucasArt, ia lebih tradisi dengan terdapat pelbagai penerbit, dimana di Naughty Dog, kami lebih mendatar, dan di sana tidak terdapat begitu banyak penerbit. Disitu juga ia lebih kepada pereka tersebut berupaya untuk bergerak sendiri. Bagi saya, saya lebih menyukai cara tersebut.

Jadi apakah tugas seorang pereka kawasanan permainan?

Brian : Tugas kami secara asasnya adalah menukar daripada rekaan-rekaan konsep dan menghidupkan kawasan tersebut disamping memastikan ia menyeronokkan dan menarik untuk pemain. Kami modelkan kawasan tersebut menggunakan aplikasa Maya, Zbrush untuk menghasilkan aset yang kami perlukan.

Adakah Bruce dan Neil memberi anda sebarang had untuk menghasilkan kawasan permainan?

Brian : Mereka sering memastikan apa yang perlu dihasilkan, kalau kami pergi terlalu jauh, Bruce sentiasa memberitahu saya. Kebanyakkan sememangnya ia berlaku seperti itu, mereka meletakkan satu had, dan pada masa yang sama memberi kami kebebasan untuk menghasilkan sesuatu yang kreatif. Walaupun kami lebih mendatar, tetapi visi permainan kami sentiasa kuat dan kukuh ketika kami membangunkan permainan tersebut.

Apakah inspirasi anda ketika menghasilkan kawasan buat permainan Uncharted 4?

Brian : Saya pereka utama yang menghasilkan kawasan Scotland bagi permainan tersebut, jadi untuk inspirasi saya menonton banyak filem dan dokumentari. Antaranya adalah filem James Bond Skyfall, dimana beliau berada di Scotland. Saya menonton filem tu hampir 10 kali, untuk mengkaji kawasan salji dan sebagainya. Saya juga menggunakan internet dan Google Map.

Passion Republic dan Lemon Sky antara pembangun permainan dari Malaysia yang mana membantu ketika pembangunan permainan Uncharted, apakah pendapat anda berkenaan kedua-dua studio tersebut?

Brian : Mereka sangat berbakat dan sebenarnya saya ke sini juga adalah untuk melawat mereka. Hasil kerja mereka sangat menakjubkan dan saya sangat berpuas hati. Pada pendapat saya, mereka sememangnya salah satu pembangun yang sangat berbakat dan ketika proses pembangunan permainan tersebut hasil kerja mereka sangat memuaskan dengan penukaran yang sangat sedikit berbanding studio lain.

Apakah pendapat anda berkenaan industri permainan video di Malaysia?

Brian : Saya berasa ia sangat menakjubkan. Terutamanya ketika saya melihat sebilangan pembangun di sini yang sangat berbakat. Termasuk juga sokongan dan keseronokkan yang saya lihat, sememangnya sangat berinspirasi bagi saya. Termasuk juga studio-studio pembangun permainan tersebut. Ketika saya melawat Passion Republic dan Lemon Sky, melihat kualiti kerja mereka sememangnya saya sangat terpersona.

Apakah projek yang paling banyak kenangan bagi anda?

Brian : Bagi saya adalah Uncharted 4, kerana ia merupakan salah satu permainan yang dilancarkan selepas Force Unleashed 2. Pada saya juga, ia merupakan permainan pertama dimana saya hasilkan di Naughty Dog. Walaupun ia agak menyukarkan, tetapi ia merupakan pengalaman yang sangat berbaloi bagi saya. Ketika di LucasArt pula, Star Wars 1313 merupakan satu permainan yang saya banggakan. Walaupun ia tidak dilancarkan, tetapi ketika Visceral ditutup beberapa minggu lepas, kami masih lagi mendengarnya di Facebook, dan peminat masih lagi bercakap berkenaan permainan tersebut sehinggalah sekarang. Tambahan juga, apabila saya menghasilkan permainan tersebut, saya berpeluang untuk menyentuh prop-prop dari Star Wars. Ia sememangnya impian menjadi kenyataan bagi saya.

Apakah permainan video kesukaan anda?

Brian : Saya sangat menyukai Half-Life 2. Saya juga masih lagi bermain Team Fortress 2, selalunya saya bermain sehingga lewat malam. Masih terdapat lagi pelayan Team Fortress 2 walaupun Overwatch sangat terkenal sekarang. Horizon Zero Dawn juga sangat menarik, namun saya belum habiskan lagi permainan tersebut. Alien Isolation juga menarik dan juga Zelda Breath of the Wild. Saya baru mendapatkan Nintendo Switch dan tidak sabar untuk bermainnya apabila saya pulang nanti.

Apakah nasihat anda untuk pereka diluar sana yang berminat untuk menyertai industri permainan video?

Brian : Nasihat saya adalah ketabahan, tidak mudah berputus asa. Kerana industri ini sememangnya sangat sukar. Kedua adalah mendengar maklum balas. Dengan kemudahan sekarang seperti Artstation, media sosial dengan keupayaan untuk berkongsi karya seni anda, dan mendengar maklum balas daripada orang lain adalah sesuatu yang boleh mengarah anda untuk apa yang anda ingin lakukan.

Apakah pendapat anda berkerja bersama Neil Druckmann dan Bruce Straley ketika pembangunan permainan Uncharted 4?

Brian : Neil seorang yang sangat bijak dan dia sangat pakar untuk menghasilkan sebuah penceritaan yang sangat menarik dan saya percaya dan mengikuti sepanjang pembangunan permainan tersebut.

Adakah anda boleh beri sebarang komen berkenaan kes gangguan seksual terhadap David Ballard dan Naughty Dog?

Brian : Saya tidak boleh memberi sebarang komen berkenaan kes tersebut, namun David merupakan salah seorang rakan karib saya. Beliau juga merupakan salah seorang yang membantu saya menyertai Naughty Dog beberapa tahun lepas. Kami juga bekerjasama ketika pembangunan permainan Uncharted 4.

Apakah pendapat anda berkenaan permainan Uncharted The Lost Legacy, dimana pada asalnya ia hanyalah dirancang sebagai pernambahan DLC yang lebih kecil, namun selepas pembangunan ia menjadi lebih besar sehingga ke permainan kendiri?

Brian : Itu merupakan salah satu apa yang kami pakar, dimana kami menyusuaikan diri ketika pembangunan permainan tersebut dan sepanjang proses kami berasa terdapat banyak lagi peluang untuk kami hasilkan permainan tersebut untuk hasilkannya lebih besar dan lebih menarik. Sememangnya pada awal pembangunan DLC tersebut, ia asalnya dibangunkan secara kecil.

Jika diberi peluang untuk menghasilkan sebarang kawasan bagi permainan IP lain, permainan apakah yang anda berminat?

Brian : Half-Life 3. Saya menunggu permainan begitu lama dari Valve. Namun buat masa ini, saya berminat untuk menghasilkan permainan baru berdasarkan rekaan kawasan saya sendiri. Tetapi saya masih lagi selesa di Naughty Dog.

Bolehkan anda berkongsi berkenaan pembangunan The Last Of Us Part II?

Brian : Dukacitanya saya tidak boleh berkongsi sebarang informasi berkenaan permainan tersebut. Maaf. Tetapi kami baru sahaja melancarkan video trailer terbaru ketika Paris Games Week. Saya mengesyorkan anda untuk menonton trailer tersebut seiring dengan trailer pertama The Last Of Us Part II kerana kedua-dua trailer tersebut mempunyai ciri-ciri bersama. Jika anda bermain permainan yang pertama juga, anda akan merasai tema sekuel bagi permainan tersebut dimana kecantikan dan juga tema pembunuhan yang terdapat di trailer tersebut.

Leave a Reply