Minggu ini berlangsungnya acara Level UP KL 2017 yang mana ia adalah acara yang memfokuskan pembangunan permainan video. Dengan kerjasama MDEC, acara tersebut berlangsung dengan jayanya dan saya berpeluang untuk menemu-ramah Wan Hazmer, iaitu pereka permainan pengembaraan Final Fantasy XV oleh Square-Enix.

Wan Hazmer merupakan pembangun permainan yang berasal dari Malaysia. Beliau mula bekerja bersama Square-Enix pada 2010 sebagai pereka permainan dan permainan pertama yang beliau terlibat adalah Final Fantasy Type-0 yang dilancarkan pada 2011 di PSP. Selepas permainan tersebut, beliau dijemput oleh Hajime Tabata untuk membangunkan bersama permainan Final Fantasy Versus XIII dimana pada 2013 ia ditukarkan kepada Final Fantasy XV.

Wan Hazmer merupakan pembangun yang bertanggung jawab untuk menghasilkan pembangunan dunia di dalam permainan tersebut dengan membawa pelbagai budaya-budaya Malaysia seperti makanan Roti Canai, Teh Tarik dan sebagainya. Pada Level UP KL 2017 minggu ini juga, beliau menyatakan bahawa beliau bakal kembali ke Malaysia untuk mendirikan syarikat pembangun permainannya sendiri selepas 7 tahun bersama Square-Enix. Bagi anda ingin membaca sesi temu ramah tersebut, berikut adalah beberapa soalan yang dikemukakan bersama jawapan beliau.

Adakah anda terlibat dengan pembangunan mod multi-pemain Comrades bagi Final Fantasy XV?

Wan Hazmer : Tidak, apa yang berlaku selepas pelancaran Final Fantasy XV, bahagian Business Division 2 kini terbahagi kepada beberapa kumpulan dimana setiap kumpulan tersebut menghasilkan beberapa kandungan untuk Final Fantasy XV seperti Episode Ignis dan sebagainya, saya terlibat dengan pembangunan permainan realiti-maya Monster Of The Deep: Final Fantasy XV dimana ia akan tiba pada 21 November ini.

Adakah akan terdapat lagi pengumuman lain untuk Final Fantasy XV Universe selepas ini?

Wan Hazmer : Kemungkinan pada masa akan datang, kerana sekarang kami memfokuskan pembangunan untuk Final Fantasy XV Windows Edition yang bakal tiba awal tahun depan. Kami mengambil masa yang lama kerana kami bekerja keras untuk menghasilkan kualiti yang terbaik juga dengan kerjasama Nvidia kami percaya ia akan menjadi edisi Final Fantasy XV yang lengkap.

Adakah Monster Of The Deep: Final Fantasy XV akan dilancarkan secara esklusif di Playstation VR?

Wan Hazmer : Buat masa sekarang, ya, ia akan tiba secara esklusif di Playstation VR.

Meninggalkan Square-Enix merupakan satu tindakan yang agak berani, tetapi kenapa sekarang anda membuat pilihan untuk meninggalkannya?

Wan Hazmer : Sebenarnya saya bercadang untuk meninggalkan Square-Enix lebih awal. Saya juga telah memberitahu Hajime Tabata sebelum ini bahawa selepas pembangunan Final Fantasy XV, saya akan membawa segala pengetahuan dan pengalaman tersebut dan bawa ia kembali ke Malaysia. Kenapa sekarang adalah kerana selepas pembangunan Monster Of The Deep, saya ingin mengetahui dan belajar lebih berkenaan realiti-maya dan selepas itu saya akan tinggalkan Square-Enix.

Adakah permainan pertama anda yang bakal anda bangunkan adalah permainan dalam bentuk realiti-maya?

Wan Hazmer : Tidak sama sekali, saya sebenarnya ada idea saya sendiri untuk permainan pertama saya, jadi saya nak hasilkan idea tersebut dahulu.

Adakah permainan tersebut bakal tiba di PC atau konsol mahupun telefon pintar?

Wan Hazmer : Saya menyasarkan untuk menghasilkan permainan untuk PC dan juga konsol. Bagi peranti telefon pintar, permainan yang saya bakal bangunkan tidak sesuai untuk telefon pintar. Tetapi saya akan pertimbangkan, namun untuk buat masa sekarang tidak.

Adakah anda bakal menghasilkan permainan berkelas AAA pertama di Asia Tenggara?

Wan Hazmer : Saya tidak akan menghasilkan permainan berkelas AAA buat masa ini, ia agak berisiko untuk menghasilkan permainan bertaraf itu pada permulaannya. Saya hanya mencari sebuah pasukan pembangun permainan sebanyak 15 orang.

Adakah anda mencari pembangun-pembangun permainan yang lain yang berminat untuk diupah ataupun bekerjasama bersama anda?

Wan Hazmer : Ya, saya sememangnya tengah mencari beberapa pembangun permainan untuk sertai saya, saya tengah mencari pereka kawasan (Enviroment Artist), pereka konsep (Concept Artist), pengaturcara (Programmer) dan juga saya mencari pereka visual efek (VFX Artist).

Adakah anda boleh berkongsi sebarang tema mahupun sebarang klu berkenaan permainan pertama anda?

Wan Hazmer : Saya tidak boleh memberi sebarang komen lebihan, tetapi permainan tersebut mempunyai tema yang menarik dan funky. Permainan tersebut juga mencerminkan personaliti saya.

Adakah anda berminat untuk berkolaborasi bersama pembangun-pembangun lain?

Wan Hazmer : Saya semestinya berminat untuk berkolaborasi dengan pembangunan lain, namun buat masa sekarang saya perlu menghasilkan dahulu prototaip permainan tersebut, selepas itu baru saya akan berbincang berkenaan kolaborasi.

Sepanjang 7 tahun anda bersama Square-Enix, apakah pengalaman dan pengajaran yang anda pelajari bersama mereka?

Wan Hazmer : Banyak yang saya pelajari, tetapi antaranya yang utama bagi saya adalah pembangun-pembangun yang saya kenal dan terlibat bersama. Selalunya bila pembangun atau seorang ketua pembangun permainan hanya melihat pembangun lain sebagai hanya bakat. Tetapi mereka lupa bahawa mereka itu adalah seorang manusia biasa. Ini merupakan apa yang saya pelajari ketika saya berada di Business Division 2 di Square-Enix.

Pembangunan permainan di Malaysia ini sememangnya semakin membesar di Malaysia, namun begitu apakah cabaran terbesar bagi anda yang anda berasa anda akan hadapi pada masa akan datang?

Wan Hazmer : Okay, ini adalah saya punya sudut pandangan, kerana saya bukan seorang yang mengendali perniagaan bisnes. Tetapi sekarang saya perlu mengedali perniagaan bisnes juga. Namun sememangnya saya masih lagi pengarah bagi permainan tersebut kerana saya ingin mengawal kreativiti permainan tersebut, tetapi pada masa yang sama saya perlu pastikan permainan saya berjaya sebagai bisnes. Jadi untuk mengimbangi keadaan tersebut merupakan cabaran utama bagi saya. Ini merupakan sesuatu yang baru. Selain daripada itu, saya berasa tiada cabaran lain kerana MDEC juga bersetuju untuk memberi saya sokongan. Saya berasa cabaran sekarang tinggal pada diri saya sendiri. Tambahan juga, saya perlu biasakan diri kembali ke Malaysia, kerana sepanjang 10 tahun ini saya tinggal di Jepun. Kembalinya saya ke Malaysia ini dan membuka sebuah perniagaan bisnes, saya perlu lebih fokus sekali terhadap industri permainan video.

Selain Final Fantasy XV, adakah ada projek yang tidak dapat anda lupakan?

Wan Hazmer : Pada saya semestinya permainan Final Fantasy Type-O. Kerana ia merupakan permainan profesional yang pertama saya. Walaupun saya hanyalah berada disana selama 3 bulan, tetapi saya belajar pelbagai pengetahuan ketika pembangunan permainan tersebut.

Selain permainan keluaran Square-Enix, apakah lagi permainan kesukaan anda?

Wan Hazmer : Banyak yang saya boleh senaraikan, tetapi bagi genre RPG, selain Final Fantasy VII, saya menyukai Sky Of Arcadia dan permainan terbaru yang saya suka adalah Persona 5. Saya juga menyukai permainan rentak muzik. Saya juga sering memuat-naik video saya bermain permainan tersebut di saluran Youtube saya. Terdapat dua permainan rentak muzik yang saya sukai, pertama adalah Chunithm dan kedua adalah Rhythm Heaven bersama Space Channel 5. Bagi permainan pengembaran pula, saya menyukai Day Of The Tentacle oleh LucasArt.

Jika anda diberi peluang untuk membangunkan permainan dari sebarang francais IP lain seperti filem mahupun komik, apakah IP yang anda berminat?

Wan Hazmer : Kemungkinan Star Wars ataupun Back To The Future. Saya sangat menyukai Star Wars kerana adalah realisme bandar di dalam filem tersebut dan kedua adalah rekaan kapal-kapal di dalam Star Wars. Back To The Future juga merupakan francais yang menarik bagi saya, kerana tak banyak pembangun permainan menghasilkan permainankan berdasarkan francais tersebut. Terdapat satu Telltale Games, tetapi saya berasa saya boleh hasilkan permainan yang lebih baik. Manakala dari segi komik, saya berminat adalah Aria. Ia merupakan manga dari Jepun dimana mereka terraform planet Marikh menjadi seakan bandar moden.

Selain daripada pembangunan permainan, apakah lagi yang berminat untuk lakukan pada masa akan datang?

Wan Hazmer : Saya sebenarnya berminat untuk menghasilkan sesuatu saluran dimana masyarakat boleh berkongsi kreativiti. Antaranya adalah saya berminat untuk mendirikan sebuah sekolah rendah dan sekolah menengah dimana saya memberi peluang kepada pelajar untuk memberi kebebasan kreativiti mereka. Namun buat masa sekarang saya perlu membuktikan dahulu dengan menghasilkan permainan.

Pada pendapat anda, apakah ciri utama ataupun kemahiran yang perlu ada bagi seorang pereka dan pembangun permainan?

Wan Hazmer : Bagi saya, seorang pereka permainan tidak seharusnya memikir terlampau berkenaan permainan tersebut. Maksudnya saya adalah kebanyakan pereka permainan yang sering saya menemu-ramah kebanyakan mereka selalunya mereka bercakap berkenaan permainan mereka dan sentiasa mengaitkan permainan tersebut dengan permainan lain. Ia akan menjadi lebih menarik jika permainan tersebut dihasilkan berdasarkan pengalaman pereka itu sendiri, berbandingkan dimana beliau menghasilkan permainan berdasarkan permainan yang lain yang dimainkan oleh beliau. Contohnya jika anda ingin membina permainan berkenaan restoran, anda sekurang-kurangnya pernah bekerja di restoran. Dengan cara tersebut, anda dapat hasilkan pengalaman yang anda temui ketika pembangunan permainan tersebut.

Apakah yang anda boleh kongsikan berkenaan Wan Hazmer pada masa akan datang?

Wan Hazmer : Satu, saya perlu buktikan diri saya dahulu. Selama 7 tahun ini, saya berada di bawah ‘sayap’ Square-Enix, dan kerana sekarang saya berada di sini. Saya perlu buktikan sepanjang apa yang saya katakan ketika saya bersama Square-Enix. Kedua adalah saya ingin menjadi seorang yang menginspirasi orang ramai untuk menyertai industri permainan video mahupun sebarang industri lain. Ketiga, adalah seperti yang saya terangkan tadi berkenaan sekolah tersebut dan juga program yang memfokuskan kreativiti.

Apakah nasihat anda untuk mereka yang berminat untuk menceburi bidang industri permainan video terutamanya di Malaysia?

Wan Hazmer : Benda pertama yang saya ingin nyatakan adalah anda perlu menjadi multi-dimensi. Anda tidak boleh hanya memikir pasal permainan video, kedua adalah buat sahaja. Jika sebarang idea yang ingin anda lakukan tanpa sebarang bentuk nyata, ia tidak bermakna. Tambahan juga, sekarang pembangun permainan semakin ringkas. Tengah pelbagai fungsi dan aplikasi yang terdapat seperti Unity dan Unreal.

Sohor Kini