Bermula pada tahun 2015, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) mengadakan acara Level Up KL setiap tahun, acara khusus memfokuskan permainan video. Kini, acara berkenaan akan kembali untuk tahun ketiga dan diadakan pada 4 hingga 9 November ini di Connexion@Nexus Conference & Event Centre, Bangsar South, Kuala Lumpur.

Level Up KL adalah acara tahunan yang diketuai oleh MDEC dimana mereka memfokuskan pembangunan permainan video. Acara ini bertujuan untuk menyatukan pembangun-pembangun permainan disamping memberi peluang kepada perserta untuk belajar dan berkongsi ilmu berkenaan industri permainan video bukan sahaja dari Malaysia, malah dari seluruh Asia Tenggara.

Bersempena acara tersebut, MDEC bakal mengadakan pelbagai aktiviti termasuklah bengkel, pameran dan juga persidangan khas permainan video. Antara pembicara yang dijemput adalah Luis Cataldi daripada Epic Games, Danny Koo daripada Marvel dan juga Wan Hazmer dari Square-Enix.

Tambahan juga, bagi mereka yang meminati siri permainan Uncharted, anda pasti tidak akan melepaskan peluang untuk berjumpa dengan Brian Recktenwald, iaitu Enviroment Artist daripada Naughty Dog. MDEC juga mengumumkan pelbagai pembangun-pembangun permainan daripada Bioware, EA Motive dan sebagainya bakal menyertai acara tersebut, termasuklah Falk Au Yeong dari SoundtRec, komposer untuk permainan Sonic Mania dan Lightning Returns: Final Fantasy XIII.

Selain acara persidangan oleh pembangun-pembangun permainan, Level Up KL juga akan mengadakan acara The SEA Game Jam, dimana ia diaturkan oleh International Game Developers Association (IGDA) Malaysia dan acara ini akan memfokuskan perserta untuk membentangkan idea untuk permainan video. Dengan kerjasama Media Prima Labs juga, pemenang bagi acara tersebut berpeluang untuk dibiayai oleh mereka untuk teruskan membangunkan permainan tersebut.

Shawn Beck, pembangun permainan Velocibox, menyatakan bahawa acara The SEA Game Jam ini merupakan salah satu langkah untuk meningkatkan lagi industri permainan video di Malaysia dengan memberi peluang kepada pembangun-pembangun permainan untuk bekerjasama untuk membangunkan sebuah permainan video yang menarik buat pengguna.

Menurut Hasnul Hadi Samsudin, Naib Presiden MDEC, beliau menyatakan bahawa acara ini merupakan satu kemajuan oleh MDEC dengan kejayaan mereka tahun lepas ketika acara Level Up KL pada 2016 dengan melebihi 600 perserta. Beliau berharap tahun ini mereka akan meningkatkan jumlah perserta sehingga melebihi 700 perserta daripada seluruh Malaysia dan juga Asia Tenggara. Disamping itu beliau juga berharap agar dengan acara seperti South East Asia Game Awards, MDEC dapat meraikan pembangun-pembangun permainan dan memberi mereka pengiktirafan terhadap industri tersebut.

Bagi anda yang berminat untuk menghadiri acara Level Up KL, anda boleh ke laman rasmi Level Up KL untuk membeli tiket dengan harga bermula RM100 untuk menghadiri bengkel. Sehingga 15 Oktober ini, anda juga boleh mendapatkan tiket awal persidangan dengan hanya RM400 berbanding dengan harga asalnya RM800.

Jangan lepaskan peluang anda untuk mengetahui lebih banyak berkenaan industri permainan video di Malaysia yang semakin berkembang ini.

Laman Rasmi : Level Up KL

Sohor Kini