Skip to main content

Uncharted: The Lost Legacy merupakan permainan yang dibangunkan oleh Naughty Dog dan dilancarkan Ogos yang lepas. Walaubagaimana pun, terdapat dua pembangun permainan bertapak di Malaysia yang bertanggungjawab menyumbangkan tenaga kreatif terhadap proses pembangunan permainan tersebut. Iaitu Passion Republic dan Lemon Sky.

Dengan kerjasama MDEC, Passion Republic dan Lemon Sky berpeluang untuk berkongsi bersama kami berkenaan proses pembangunan permainan Uncharted: The Lost Legacy dan bagaimana pengalaman mereka bersama Naughty Dog.

Lemon Sky merupakan studio pembangun permainan yang bertanggungjawab untuk menghasilkan bentuk beberapa asset 3D model harta karun dan prop kawasan buat permainan Uncharted: The Lost Legacy. Antara hasil kerja mereka merupakan papan tanda Pink Lotus yang menjadi ikonik ketika trailer pertama Uncharted: The Lost Legacy dipertontonkan ketika PSX 2016 lepas.

Kevin Lai, pengurus projek bagi Lemon Sky menyatakan dengan tempoh masa 9 bulan, mereka berjaya melakukan pelbagai tugas yang diberi oleh Naughty Dog bermula dari proses permulaan projek, hingga ke penghasilan aset 3D model. Dengan kerjasama dan tunjuk ajar Naughty Dog juga, mereka dapat melaksanakan projek tersebut dengan jayanya walaupun proses tersebut sangat mencabar.

Manakala Passion Republic juga terlibat dengan proses pembangunan permainan Uncharted: The Lost Legacy secara lebih mendalam dengan bertanggungjawab ketika proses pembangunan penceritaan bagi permainan tersebut. Passion Republic sebelum ini juga pernah bekerjasama bersama Naughty Dog ketika proses pembangun permainan Uncharted 4: A Thief’s End.

Ng Aik Sern, presiden buat Passion Republic juga menyatakan mereka sangat berterima kasih kepada Naughty Dog, terutamanya Erick Pangilinan, pengarah seni permainan Uncharted kerana beliau sering memberi maklum balas ketika proses pembangunan permainan tersebut walaupun berbeza waktu masa. Dengan hanya mengambil masa 3 bulan untuk proses pembangunan penceritaan dan 9 bulan untuk menghasilkan aset 3D model, Passion Republic merasa seolah mereka berintegrasi bersama Naughty Dog daripada menjadi sebuah syarikat outsource.

Hasnul Hadi Samsudin, Pengarah MDEC juga memainkan peranan yang penting terutamanya ketika pembangunan Uncharted 4: A Thief’s End dimana beliau memperkenalkan pembangun-pembangun permainan dari Malaysia untuk membantu proses pembangunan permainan tersebut pada 2015 yang lepas. Kini setelah beberapa tahun, tampaknya hasil usaha MDEC bersama Passion Republic dan Lemon Sky memberi impak yang sangat menakjubkan dengan penglibatan dua studio pembangun permainan tersebut ke tahap antarabangsa.

Leave a Reply