Hari ini Nintendo mengumumkan tarikh pelancaran untuk permainan Fire Emblem Warriors iaitu pada 20 Oktober ini dan bakal tiba di Nintendo Switch dan New Nintendo 3DS.
Nintendo juga mengumumkan edisi terhad khas untuk Nintendo Switch yang bakal turut ditawarkan ketika pelancaran permainan ini. Edisi terhad Fire Emblem Warriors ini bakal mengandungi poster Fire Emblem Warriors, tiga cakera muzik latar dan 25 keping kad seni khas rekaan watak permaina berkenaan.
Fire Emblem Warriors adalah permainan aksi perlawanan yang dibangunkan oleh Team Ninja, Omega Force dan Intelligent Systems. Ia merupakan permainan kolaborasi Nintendo bersama Koei Tecmo dan ia mempunyai bentuk permainan seperti permainan Koei Tecmo yang terkenal, iaitu seumpama Dynasty Warriors. Fire Emblem asalnya adalah permainan strategi mengikut urutan yang popular di konsol-konsol Nintendo. Kini dengan pelancaran permainan ini, ia bakal mengubah bentuk permainan tersebut dan memberi perspektif bentuk permainan berbeza dari siri asalnya.
Bagi peminat Fire Emblem Warriors, adakah anda akan mendapat permainan ini di Nintendo 3DS atau Nintendo Switch?