The Inpatient merupakan permainan yang dibangunkan oleh Supermassive Games dan diterbitkan oleh Sony Interactive Entertainment khas untuk Playstation VR. Ia adalah permainan seram realiti-maya yang merupakan prekuel untuk permainan Until Dawn. Pada PSX 2017 SEA yang lepas, saya sempat mencuba permainan seram ini.
Demo permainan The Inpatient yang disediakan ketika di PSX SEA 2017 yang lepas agak pendek untuk saya memberi komen yang terperinci. Dengan hanya bermain dalam lingkungan 15 minit, tak banyak yang saya boleh huraikan dari segi pengalaman saya bersama permainan ini.
Ketika bermain permainan ini, saya dapat rasakan sedikit motion sickness ketika saya menggerakkan watak permainan tersebut. Sekaligus membuat saya sedikit kurang selesa ketika bermain permainan ini. Dari segi kawalan pula, permainan ini mempunyai kawalan yang ringkas dengan menggerakkan watak menggunakan analog kiri dan berinteraksi dengan R2. Pemain juga boleh berinteraksi dengan barangan yang dipegang oleh pemain dengan menggerakkan Dualshock 4, seperti untuk memusingkan kertas ke belakang.
Secara jujurnya bagi saya permainan ini kurang menarik dari segi penceritaan. Ketika saya mencuba demo tersebut, tak banyak yang dihuraikan oleh permainan ini seperti apa yang perlu saya lakukan dan sebagainya. Sememangnya ia adalah sebuah demo permainan, tetapi disebabkan isian yang begitu pendek dan kurang menarik, ia tidak membuat saya berminat untuk teruskan bermain. Dari segi keseraman pula, permainan ini mempunyai banyak adegan mengejutkan yang agak bosan dan boleh diramal. Sebagai seorang pemain yang sering bermain permainan yang seram, kebanyakkan adegan mengejut permainan ini hanyalah dengan jeritan yang kuat, dan watak atau hantu yang keluar secara tiba-tiba. Ia tidak memberi apa-apa yang baru dari segi genre seram daripada permainan yang lain.
Walaubagaimanapun, pembangun permainan ini menyatakan, seperti pada permainan Until Dawn, mereka bakal menyertakan pelbagai pengakhiran untuk permainan ini. Buat masa ini, mereka masih lagi belum mengumumkan tarikh pelancaran permainan ini.
Bagi anda yang berada di PSX 2017 SEA 5 Ogos yang lepas, adakah anda sempat mencuba The Inpatient? Apakah pendapat anda berkenaan permainan tersebut? Jangan lupa untuk tinggalkan komen dibawah.