Final Fantasy XV: Monster Of The Deep adalah permainan khas untuk Playstation VR yang bakal dilancarkan pada September ini. Permainan ini dibangunkan oleh Square-Enix dan merupakan permainan mandiri. Ia diumumkan ketika E3 Jun yang lepas. Saya berpeluang untuk mencuba permainan ini pada acara PSX 2017 SEA yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.. Tambahan juga, Wan Hazmer, pereka bentuk permainan ini sempat berkongsi bersama saya berkenaan permainan ini.
Final Fantasy XV: Monster Of The Deep merupakan permainan memancing khas untuk Playstation VR. Demo permainan yang sempat saya cuba adalah dengan bermain bersama alat kawalan Playstation Move. Haz juga menyatakan permainan tersebut boleh dimainkan dengan menggunakan alat kawalan Dualshock 4. Tetapi beliau mengesyorkan yang permainan ini lebih baik dimainkan bersama Playstation Move.
Pada mulanya, Haz sendiri mengakui berkenaan kritikan yang mereka dapat ketika mengumumkan permainan ini pada Jun yang lepas. Haz juga menerangkan kenapa mereka memilih untuk menukar permainan penembak realiti-maya Prompto yang dipertontonkan ketika acara E3 2016 kepada sebuah permainan realiti-maya memancing.
Haz memulakan persembahannya dengan mengucapkan terima kasih kepada Streamline Studio, yang merupakan studio pembangun permainan yang bertapak di Malaysia. Mereka membantu Square-Enix di dalam pembangunan antaramuka permainan tersebut untuk paparan antaramuka dan juga kesan-kesan 3D di dalam permainan Monster Of The Deep.
Haz meneruskan persembahannya dengan menerangkan lima sebab kenapa mereka membangunkan permainan memancing realiti-maya dan kenapa ia bukan hanya sekadar permainan memancing yang biasa. Lima sebabnya adalah kawalan, watak, bentuk mod permainan, kawasan persekitaran dan juga pertempuran.
Dari segi kawalan, Haz menerangkan sebelum mereka membangunkan permainan ini, staf-staf Square-Enix mengkaji terlebih dahulu dengan mencuba joran untuk memancing dan mendapatkan pengalaman memancing tersebut sebelum memulakan pembanguna permainan ini. Walaupun Haz tidak berjaya mendapat seekor ikan, beliau percaya permainan realiti-maya memancing dapat memberi pengalaman yang baru untuk pemain-pemain seluruh dunia.
Untuk perwatakkan pula, pemain tidak akan menggunakan Noctis sebagai watak untuk dikawal. Pemain akan mengawal watak mereka sendiri dan pemain boleh berinteraksi bersama Noctis dan rakan-rakannya seperti membaling makanan ke arah Noctis atau mengambil barangan dari Prompto. Mereka juga akan memberikan tindak balas berdasarkan kepada pilihan anda.
Untuk mod permainan pula, Haz menyatakan permainan ini bakal tiba dengan pelbagai mod permainan seperti Mobhunt dimana pemain boleh memburu ikan untuk mendapatkan ganjaran. Pemain juga boleh menaik-taraf joran seperti di dalam mod memancing di permainan Final Fantasy XV. Permainan ini juga bakal ada mod permainan penceritaan di mana pemain akan menggembara pelbagai lokasi untuk memancing sebagai seorang pemain solo.
Seperti permainan Final Fantasy XV, kawasan persekitaran di dalam siri Final Fantasy sememangnya sesuatu yang sangat menarik dan mempunyai rekaan fantasi yang menawan. Haz menyatakan pemain berupaya untuk bergerak di kawasan tersebut untuk mencari kawasan memancing malah menikmati suasana pemandangan di alam Final Fantasy XV. Haz juga menyatakan realiti-maya merupakan pengalaman yang terbaik untuk para pemain menikmati suasana pelbagai lokasi fantasi dan terokainya dengan mudah.
Final Fantasy XV: Monster Of The Deep turut menyertakan pertempuran terakhir dengan ketua musuh yang agak unik dan menarik. Fungsi ini memberi kelainan dari permainan memancing yang lain, sekaligus menawarkan kelainan dibawah jenama siri Final Fantasy. Ketika perlawanan bersama ketua musuh, pemain akan menggunakan senjata lain seperti Crossbow dengan peluru penenang untuk tenangkan ikan tersebut sebelum memancingnya. Haz juga mengumumkan rekaan ketua musuh ikan yang baru secara esklusif di PSX 2017 SEA yang mempunyai rekaan seakan permaisuri. Ikan tersebut merupakan salah satu daripada pelbagai lagi ketua musuh ikan yang bakal pemain tempuhi kelak.
Ketika PSX 2017 SEA, saya sendiri sempat memcuba permainan in. Pada mulanya Square-Enix mengumumkan permainan ini, saya sendiri agak skeptikal dengannya. Tetapi selepas mencuba sendiri permainan ini, bagi saya, ia sememangnya suatu pengalaman yang unik. Saya telah mencuba pelbagai jenis permainan realiti-maya dan bagi saya sememangnya permainan Final Fantasy XV: Monster Of The Deep memberi sesuatu yang berbeza untuk permainan realiti-maya.
Cara kawalan permainan tersebut sangat intuitif dan bentuk permainan realiti-maya membuat seolah kita berada di lokasi tersebut. Dengan menggunakan alat kawalan Playstation Move, cara kawalan permainan tersebut senang untuk dikawal. Anda hanya perlu menekan butang ‘Move’ dan ketika ingat melontarkan umpan anda perlu lepaskan butang tersebut. Ketika anda ingin reel joran tersebut, seperti joran memancing yang sebenar, anda perlu menggunakan tangan kiri untuk pusingkan joran tersebut seolah anda betul-betul memancing. Cara memancing pula agak sama dengan mod permainan memancing di permainan asal Final Fantasy XV, tetapi dengan sistem reel bersama fungsi realiti-maya, ia sememangnya memberi pengalaman yang baru buat saya.
Walaupun demo permainan tersebut agak pendek, tetapi saya suka dengan beberapa fungsi permainan tersebut seperti apabila kita berjaya menangkap ikan tersebut, kita boleh memegangnya. Ini sekaligus membolehkan anda melihat saiz ikan yang ditangkap. Pertempuran bersama ketua musuh ikan juga agak menarik dengan tambahan crossbow sebagai senjata – dimana saya perlu sasarkan ke arah musuh untuk menenangkannya sebelum memancing.
Akhir kata, permainan Final Fantasy XV: Monster Of The Deep sememangnya sangat menarik dan ia memberikan nafas yang baru buat permainan realiti-maya. Walaupun pada mulanya saya pasti ramai yang skeptikal dengan pengumuman permainan ini, tetapi nasihat saya untuk anda semua adalah anda perlu mencuba dahulu permainan ini untuk menikmati dan memahami konsep permainan ini secara mendalam.
Final Fantasy XV: Monster Of The Deep bakal tiba pada bulan September depan dan akan dipasaran secara digital sahaja di PSN Store. Permainan ini adalah esklusif khas untuk Playstation VR buat masa ini.