Dragonball FighterZ adalah permainan perlawanan yang dibangunkan Arc System Works dan diterbitkan oleh Bandai Namco. Ia bakal dilancarkan awal tahun depan di konsol Playstation 4, Xbox One dan PC. Pada PSX 2017 SEA yang lepas, saya sempat mencuba versi demo permainan tersebut secara ringkas.
Dragonball FighterZ memfokuskan bentuk perlawan secara 2D. Menariknya, permainan ini dibangunkan oleh Arc System Works, iaitu pembangun siri permainan perlawan BlazBlue dan Guilty Gear. Seperti permainan tersebut, visual permainan ini menggunakan teknik visual cel-shaded, yang mana sememangnya sesuai dengan siri Dragonball kerana ia merupakan animasi 2D yang popular dengan aksi dan rupa perlawanannya yang menarik.
Pengalaman saya bermain permainan ini adalah ia menghampiri bentuk permainan seperti Marvel VS Capcom dan Street Fighter. Kombinasi serangan agak mudah untuk dilaksanakan malah serangan khas pula tidak terlalu sukar untuk dilakukan. Walaubagaimanapun, ketika demo permainan tersebut, Bandai Namco hanya menyediakan alat kawalan Dualshock 4 dan Razer Raiju sahaja. Sebagai seorang peminat siri permainan perlawanan, saya rasa permainan ini lebih sesuai dimainkan dengan menggunakan alat kawalan Arcade Stick. Demo yang disediakan juga tidak menyertakan beberapa watak baru yang diumumkan beberapa minggu lepas. Namun, saya tetap seronok bermain permainan ini.
Tidak seperti siri permainan perlawanan Dragonball sebelum ini, anda tidak perlu mengumpulkan qi untuk melaksanakan serangan khas seperti KameHameHa dan sebagainya. Bentuk permainan ini sememangnya sangat pantas dan intuatif. Seperti permainan perlawanan yang lain, anda juga boleh membuat serangan akhir dengan mengumpul meter dibawah untuk membuat serangan kombo akhir.
Dragonball FighterZ dimainkan secara HD penuh pada kadar 60FPS – walaupun ia dimainkan di Playstation 4 yang biasa, dan bukannya versi Pro. Pemain juga berupaya membuat serangan dengan memusnahkan kawasan permainan tersebut sekaligus memberi impak perlawanan yang sangat menarik. Teknik perlawanan khas dari siri anime juga kembali seperti keupayaan Goku untuk menjadi Super Saiyan ketiga dan membuat serangan KameHameHa. Walaubagaimanapun, transformasi tersebut hanyalah berlaku ketika pemain membuat serangan akhir dan serangan khas sahaja dan bukannya seperti permainan Dragonball sebelum ini, dimana pemain boleh memilih dan menukar transformasi Super Saiyan ketika di dalam permainan bila-bila masa sahaja.
Akhir kata, permainan Dragonball FighterZ sememangnya sangat menarik dan ia sangat seronok dimain. Dengan kerjasama Arc System Works bersama Bandai Namco, saya percaya permainan ini khas untuk peminat siri Dragonball dan juga peminat siri permainan perlawanan.
Dragonball FighterZ bakal tiba awal tahun depan di Playstation 4, Xbox One dan juga PC. Bagi anda yang ke PSX 2017 SEA, apa pendapat anda berkenaan permainan ini? Jangan lupa untuk tinggalkan komen dibawah.